9.15.2008

:::Pelajar Melayu harus fasih bahasa Inggeris:::

MENTERI Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu tegas dan berani membuat keputusan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik tetap diajar dalam bahasa Inggeris demi kebaikan anak Melayu yang boleh berjaya bersama dengan bangsa lain di Malaysia.

Dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa orang Melayu pandai tetapi mesti berani menghadapi perubahan. Walaupun mata pelajaran bahasa Inggeris diajar dengan baik, ia tidak mencukupi kerana kebanyakan anak Melayu belajar bahasa Inggeris sambil lewa saja.

Mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris membuatkan mereka lebih tekun untuk belajar bahasa Inggeris.




Kenapa kita dibandingkan Jepun, Korea, China atau negara yang penduduknya sebangsa? Mereka guna bahasa ibunda sebab mereka satu bangsa. Malaysia mempunyai pelbagai bangsa dan bercakap ikut bahasa ibunda masing-masing.

Bahasa Melayu hanya digunakan apabila mereka bercakap dengan orang Melayu, kalau tidak mereka akan bercakap dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda mereka.

Anak bukan Melayu mulai tadika lagi sudah belajar bahasa Inggeris, mereka tidak hantar anak mereka ke tadika Kemas. Hanya orang Melayu yang mampu saja yang menghantar anak mereka ke tadika berbahasa Inggeris.

Tidak salah jika sekolah dari Tahun Satu mulai belajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, jika ada lagi subjek lain, lebih bagus. Pelajar Tingkatan Tiga, Empat dan Lima kini memang berasa susah sedikit sebab mereka baru bermula dan kita perlu memberi semangat kepada mereka, bukan menakutkan mereka dengan pendirian yang tidak tetap Kementerian Pelajaran.

Jika anak Melayu tidak dipaksa, saya rasa Melayu akan bertambah mundur. Cuba kita kaji pada masa dulu, lulusan Malaysian Certificate of Education (MCE) gred 3 pun lebih berjaya berbanding SPM gred 1.

Ini menunjukkan lulusan MCE gred 3 lebih berani kerana mereka fasih berbahasa Inggeris. Jangan ulangi kesilapan lalu dengan mengubah semua mata pelajaran di sekolah dalam bahasa Malaysia.

Kita mesti mempertahankan bahasa Malaysia dalam urusan pentadbiran kerajaan dan urusan perniagaan di sektor swasta. Jangan lagi ubah mata pelajaran di sekolah kerana ini hanya menjahanamkan orang Melayu secara halus. Biarlah orang Melayu rasa susah sikit hendak belajar bahasa Inggeris tetapi lama kelamaan mereka akan berjaya.

Pelajar Tahun Satu jika diajar dengan baik menggunakan bahasa Inggeris akan menjadi bijak apabila masuk ke sekolah menengah. Kalau diubah, bangsa Melayu akan lebih parah lagi. Orang kaya boleh hantar anak mereka ke sekolah antarabangsa. Apabila anak mereka tamat belajar boleh pula ganti mereka menjadi pemimpin.

Fahamlah bahawa bahasa Inggeris tidak mengubah kemelayuan kita selagi urusan pentadbiran kerajaan ditadbir dengan menggunakan bahasa Melayu. Jika boleh, urusan pentadbiran di swasta juga diwajibkan guna bahasa Melayu.

3 comments:

nurul falah said...

salam.. apa ye pendapat anda semua tentang isu ni?
bagi komen sikit

Rendah diri said...

wah..tuan tanah dah mintak komen..

saya ada jugak beberapa org kwn yg boleh speaking omputeh dgn baik. nak dgr loghat british atau amerika? diorang boleh aje. padahal time skolah dulu math dgn sains guna bahasa melayu je.

ada pro dan kontranya sains dan math dlm bahasa omputeh ni..

nurul falah said...

terima kasih rendah diri... mungkin juga..