4.30.2009

Masa


PEPATAH ada menyatakan bahawa masa itu emas, pada hal masa sebenarnya tidak dapat dinilai harganya dan masa yang berlalu itu adalah detik kehidupan manusia.

Masa berlalu tidak mungkin kembali lagi dan tinggal kini hanya masa sekarang dan akan datang.

Namun, kebanyakan manusia begitu leka dan alpa apabila datang masa yang dinanti-nanti yang menghiasi kelangsungan hidup makhluk di bumi Allah terbentang luas ini.

Oleh sebab itulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ada dua nikmat di mana manusia sering lalai dan leka iaitu masa sihat dan masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Pendek kata, masa adalah aset amat bernilai anugerah Ilahi. Setiap detik yang dilalui adalah perjalanan hidup yang tidak akan kembali.

Allah menegaskan betapa manusia di dunia ini sememangnya benar-benar berada dalam kerugian kecuali golongan yang dirahmati Allah. Firman Allah bermaksud:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-'Asr, ayat 1 - 3)

Jelas di sini, manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Malah, manusia akan ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh umur di dunia ini.

Perlu diinsafi bahawa kehidupan kita di dunia ini hanya sementara dan kita akan dijemput oleh Malaikat Maut pada bila-bila masa yang ditentukan Allah.

Begitulah nilai kehidupan dunia yang sebenarnya di mana dunia ini bukan segala-galanya bagi seseorang yang bergelar hamba Allah.

Dunia ini seumpama ladang untuk bercucuk tanam sebagai bekalan dan persediaan pada kemudian harinya iaitu hari akhirat yang abadi.
Sebagai renungan, Dr Yusuf al-Qaradawi ada menukilkan kata-kata hikmat seorang pujangga Arab dalam bukunya:
"Masa dalam kehidupan mukmin" iaitu sesiapa yang menghabiskan masanya tanpa menunaikan kewajipannya atau tidak melaksanakan amalan fardu atau tidak mewarisi kecemerlangan atau tidak memperolehi kemuliaan atau tidak menyemaikan kebaikan atau tidak menimba ilmu pengetahuan, maka sesungguhnya dia menderhaka kepada masa hidupnya dan menzalimi diri.








No comments: